KL - Terengganu - KL

Assalamualaikum w.b.t.

Semoga kita semua sentiasa berada dalam rahmat, kasih sayang dan lindungan Allah SWT. 🤍

Kenangan kecil dari Dungun, Terengganu.

Minggu lepas, kami ke Dungun, Terengganu. Anak sulung kakak bertunang. Jauh juga perjalanan, tetapi kebetulan cuti Hari Kebangsaan bersambung pula dengan cuti negeri Selangor, jadi kami ambil kesempatan untuk berkumpul dan meraikan hari bahagia keluarga.

Kami bertolak pada pukul 8.30 pagi hari Jumaat. Singgah di Temerloh untuk menunggu adik dan mak check out dari hotel, kemudian kami bergerak bersama-sama menuju ke Dungun.

Alhamdulillah, cuaca baik. Panas memang panas, tetapi jalan raya masih belum sesak. Kami memang sengaja memilih untuk bertolak pagi kerana sudah boleh menjangka kesesakan yang mungkin berlaku sekiranya bergerak pada sebelah petang.

Aku sewa homestay empat bilik. Besar ya ampun homestaynya! 😄 Alhamdulillah, sangat selesa. Semua bilik ada aircond, ruang tamunya besar gedabak, dapur pula luas dengan peralatan yang lengkap. Memang rasa macam rumah sendiri.

Adik dan mak aku pun tinggal di homestay yang sama. Kakak pula book penginapan di tepi pantai. Malam tu dia datang lepak-lepak di homestay untuk letak barang hantaran, bergambar sental dulang dan susun2 barang hantaran. Masa anak2 sedara menggosok dulang, teringat kenangan masa sekolah rendah. ni adalah antara tugas kami setiap kali nak raya. aku tak suka betul gilap tembaga sebab bau brasso tu busuk sangat. hehehe

Jarak homestay kami dengan rumah tunang Zahin lebih kurang 11 km sahaja. Dalam 15 minit macam tu. Malamnya, kami sempat meraikan hari jadi adik lelaki di homestay. Aku beli tiga biji kek. Hahahaha… over kan akak

Hari bertunang pun tiba.

Kami bergerak beramai-ramai. Ada tujuh buah kenderaan semuanya. Meriah sungguh!

Sampai sahaja di rumah tunang Zahin, kami disambut baik oleh tuan rumah dan saudara-maranya. Wahhh… besar betul rumahnya. Selesai majlis, kami makan beramai-ramai.

Sedapnya makanan Ganu kita! ❤️

Di tengah-tengah kami sedang makan dan bersembang, adik bongsu pula call katanya perjalanan masih jauh. Aku terus beritahu, “Tak apa, kami tunggu. Datanglah makan kat sini.” Kami pun masih belum selesai makan, masih rancak bersembang dan menikmati suasana.

Begitulah bila ramai-ramai.

Ada sahaja cerita. Ada sahaja gelak ketawa. Kadang-kadang perkara kecil pun boleh jadi bahan untuk dikenang dan ditertawakan bersama. Tidak perlu ke mana-mana pun. Cukup sekadar duduk bersama, makan bersama dan berkongsi cerita, hati sudah terasa penuh.

Petang dalam pukul 4 kami balik ke homestay. Sampai sahaja, memang lesu dibuatnya. Cuaca panas betul.

Apa lagi… selepas mandi dan tukar pakaian, terusss lena. Sedor-sedor dah dekat Maghrib. 😴

Kali ini perjalanan kami agak berbeza. Banyak masa dihabiskan di rumah sahaja. Nak berjalan-jalan sekitar Dungun pun kebanyakannya kawasan pantai, tetapi cuaca terlalu panas. Puteri-puteri lilin semuanya tak larat. 😂

Akhirnya, kami lebih banyak lepak di homestay.

Dan sebenarnya, itulah yang paling seronok.

Malam pun kami tak keluar kerana kakak kurang sihat. Jadi kami makan-makan sahaja di homestay. Duduk bersama, berbual, ketawa dan menikmati masa yang ada. Kadang-kadang, kebahagiaan itu tidak memerlukan tempat yang istimewa. Cukup dengan orang-orang yang kita sayang berada di sisi.

Hari Ahad, selepas check out, aku terus bergerak menuju ke Kuantan. Mak dan kakak masih di Dungun.

Memandangkan di Dungun kami tak sempat nak makan seafood, kami singgah di Ana Petai, Kuantan. Puas hati makan seafood dengan pelbagai jenis masakan. Seronok sangat walaupun perjalanan masih jauh. 😂

By the way, kami bergerak dengan dua buah kereta. Alhamdulillah, anak teruna aku sekarang dah boleh diharap untuk memandu jauh. Relaks sahaja dia drive pergi dan balik. Orang muda, tenaga tengah kuat.

Teringat pula masa dia kecil-kecil dulu. Nakalnya ya ampun! 🤣

Dah besar pun nakal juga rupanya… cuma sekarang kuat mengusik adik pula. Hahaha.

Kami sampai di KL sekitar pukul 1.26 pagi. Ada juga singgah di R&R Temerloh untuk minum-minum sebelum meneruskan perjalanan.

Sampai rumah, kami bersihkan apa yang patut, simpan barang, mandi dan terus zzzzzzzzz…

Esoknya selepas Subuh, sambung tidur lagi sampai pukul 11.30 pagi baru bangun. Lepas masak, makan dan solat, zzzzz lagi sampai Asar.

Aduhaiii… age factor sungguh! 😂

Kali ini posting tanpa gambar.

Haha… malas betul nak ambil gambar kali ini. Selalunya akulah yang paling rajin mengabadikan setiap momen. Kali ini kamera pun berehat. Gamaknya age factor juga. 😄

Tapi mungkin, tidak semua kenangan perlu dirakam dalam gambar.

Ada kenangan yang cukup disimpan dalam hati.

Ada perjalanan yang tidak perlu banyak destinasi, kerana yang paling indah sebenarnya adalah siapa yang menemani sepanjang perjalanan itu.

Ada saat-saat yang nampak biasa sahaja ketika kita melaluinya, tetapi apabila dikenang semula, rupanya itulah antara detik paling manis dalam kehidupan.

Alhamdulillah atas kesempatan untuk berkumpul, atas kesihatan untuk berjalan jauh, atas rezeki untuk makan bersama, atas keluarga yang masih diberi ruang untuk duduk semeja, berbual, bergelak ketawa dan saling mengusik.

Semoga Allah terus memelihara kasih sayang antara kami, melimpahkan keberkatan dalam setiap urusan, dan memberikan kami lebih banyak kesempatan untuk mencipta kenangan-kenangan indah bersama insan-insan yang kami sayangi.

Kerana akhirnya, yang akan tinggal bukanlah jauhnya perjalanan, penatnya tubuh atau banyaknya tempat yang kita singgah… tetapi rasa syukur kerana pernah melalui semuanya bersama. 🤍

Sekadar menyimpan kenangan manis, mengabadikan rasa dan berkongsi sedikit cerita di sini.

Semoga masih ada kesempatan untuk kita terus menghargai setiap hembusan nafas, setiap langkah perjalanan dan setiap kurniaan Allah dalam kehidupan ini.

Alhamdulillah untuk hari-hari yang sederhana, tetapi penuh makna.

🌷 Semoga setiap perjalanan kita sentiasa berada dalam rahmat dan redha-Nya.


Comments

Popular posts from this blog

Kenalilah Ciri2 Hasad Dengki

May Bakal Menjelma