Detik Cemas Di Parliamen

KUALA LUMPUR 15 Dis. – Kira-kira pukul 11 malam tadi di Dewan Rakyat, Barisan Nasional (BN) melalui saat paling mencemaskan apabila jumlah undi diperoleh untuk meluluskan Bajet 2010 terlalu tipis.

Ia berikutan kehadiran Ahli Parlimen BN yang mengecewakan sehinggakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa bergegas ke Parlimen untuk turut serta mengundi.

Ada yang menyifatkan saat tersebut sebagai cabaran paling getir bagi BN kerana implikasinya terlalu besar jika bajet itu gagal diluluskan.

Menurut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berdasarkan konvensyen bagi sebuah negara berparlimen, sekiranya bajet itu tidak diluluskan malam tadi, kerajaan BN terpaksa dibubarkan dan satu pilihan raya baru terpaksa diadakan.

“Ini juga bermakna kerajaan tidak akan mendapat perbelanjaan yang dibentangkan baru-baru ini kerana Dewan Rakyat tidak meluluskannya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Parlimen hari ini.

Dalam sesi pengundian belah bahagian itu, BN berjaya mengatasi pembangkang sebanyak tiga undi (66-63) – membolehkan Bajet 2010 akhirnya diluluskan.

Dari segi komposisi, BN mempunyai 137 wakil di Dewan Rakyat berbanding 82 pembangkang dan tiga anggota Bebas.

Justeru, apa yang dilalui BN itu harus membuka mata semua pihak terutama wakil rakyat yang gagal menghadirkan diri untuk bersama-sama menyokong meluluskan bajet tersebut.

Mereka terdiri daripada barisan menteri dan timbalan menteri serta pemimpin utama parti komponen BN.

Kehadiran Perdana Menteri serta timbalannya pada saat genting malam tadi memberi mesej amat jelas tentang keseriusan menghadiri sidang terutamanya sesi pengundian sesuatu rang undang-undang itu.

Mengulas peristiwa itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz kesal dengan kegagalan Ahli-ahli Parlimen BN hadir malam tadi dan mahu ia dijadikan pengajaran.

“Kita tidak boleh mengharap bernasib baik setiap waktu. Kita mesti berfikiran setapak ke hadapan dan sentiasa bersedia,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri berkata, beliau menyedari sesuatu yang penting akan berlaku apabila melihat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang masih berada di Parlimen sehingga pukul 8 malam.

“Kebiasaannya pada waktu ini mereka sudah tiada tetapi yang anehnya ramai anggota pembangkang masih berada di Parlimen pada waktu itu.

“Oleh itu, saya meminta semua ahli Parlimen BN berada di Parlimen segera kerana mengesyaki pembangkang akan melakukan sesuatu ketika proses pengundian untuk meluluskan bajet,” katanya.

Menjawab satu soalan, Mohamed Nazri berkata:

“Saya berada di sini tiap-tiap hari, macam mana nak kata saya tak buat kerja?

“Mungkin selepas ini beri saya pistol, akan saya letakkan di kepala Ahli-ahli Parlimen (BN) dan tembak jika tidak hadir, baru nampak saya buat kerja.”

Mengulas isu sama Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, hakikatnya kerajaan BN akan kehilangan kuasa sekiranya bajet itu tidak diluluskan Dewan Rakyat malam tadi.

Ini kerana, katanya, kegagalan meluluskan bajet membawa makna yang kerajaan gagal mendapat mandat Parlimen atau dibaca sebagai mandat rakyat untuk mentadbir negara.

“Bagi menggerakkan sesebuah kerajaan ia memerlukan bajet dan sekiranya bajet tidak ada bagaimana kerajaan boleh berjalan.

“Katakanlah malam tadi bajet tidak lulus. Timbul persoalan bagaimana kerajaan hendak mentadbir negara untuk Januari hingga seterusnya,” katanya.

Pendedahan yang dibuat secara ringkas oleh Mohd. Shahrir itu sememangnya amat memeranjatkan.

“Secara peribadi saya kesal mengapa Ahli-ahli Parlimen tidak faham betapa pentingnya hari meluluskan bajet.

“Mereka sepatutnya membatalkan semua program sebaliknya menumpukan kepada proses pengundian bajet,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Kenalilah Ciri2 Hasad Dengki

How do you define Happiness??

Jangan Mengharap Pada Sesuatu Yang Belum Pasti